Jumaat, 2 Disember 2011

Kisah Nabi Musa A.S Dengan Seekor Burung Helang

Kisah Nabi Musa A.S Dengan Seekor Burung Helang



Pada suatu hari Nabi Musa a.s. telah keluar dan pergi berjalan-jalan bersama dengan Yusa' bin Nun , tiba-tiba ada seekor burung putih yang hinggap pada bahu Nabi Musa a.s.

Burung itu berkata : "Wahai Nabi Allah lindungilah aku dari suatu pembunuhan pada hari ini".

Nabi Musa a.s bertanya : "Dari siapa?"

Jawab burung itu : "Dari burung helang yang mahu memakan aku."

Burung itu lalu masuk kelengan baju Nabi Musa a.s dan tidak berapa lama datanglah burung helang terbang menghadap Nabi Musa a.s dan berkata

Burung helang berkata : "Hai Nabi Musa, janganlah engkau menghalangi aku dari buruanku."

Nabi Musa berkata : "Aku akan menyembelih seekor kambingku untukmu sebagai gantinya."

Jawab burung helang : "Daging kambing tidak sesuai bagiku."

Selanjutnya burung helang itu berkata : "Sebagai ganti, aku ingin makan dua biji matamu sebagai ganti."

Jawab Nabi Musa a.s : "Baiklah kalau demikian."

Kemudian Nabi Musa a.s tidur menelentang dan datanglah burung helang itu hinggap di dada Nabi Musa a.s dan hendak mematuk dua matanya dengan paruhnya.

Melihat yang demikian ini Yusa' bin Nun berkata : "Wahai Nabi Allah, apakah engkau menganggap mudah dua mata engkau, hanya dalam urusan burung ini sahaja?"

Maka burung itu terbang dari lengan baju Nabi Musa a.s dan helang pun mengejarnya. Akhirnya kedua-dua burung itu kembali menghadap kepada Nabi Musa a.s seraya berkatalah seekor dari antara keduanya : "Aku sebenarnya adalah malaikat Jibril dan kawanku ini adalah malaikat Mikail. Tuhanmu telah menyuruh kami menguji kepadamu boleh bersabarkah engkau dari qadha' Tuhanmu atau tidak."

Memang kesabaran itu harus dimiliki oleh setiap orang, lebih-lebih lagi orang yang beriman kepada Allah kerana memang orang yang beriman tidaklah akan dibiarkan begitu sahaja setelah ia menyatakan beriman kepada Allah, melainkan ia harus melalui ujian atau cubaan pula.

Rasulullah s.a.w bersabda bahawa sabar itu ada tiga:

Sabar terhadap bencana.
Sabar berlaku taat.
Sabar menjauhi perbuatan derhaka.

Barangsiapa sabar terhadap bencana, maka dicatat baginya tiga ratus darjat yang jaraknya jauh antara tiap-tiap dua darjat seperti jauhnya antara langit dan bumi.

Barangsiapa sabar berlaku taat, maka dicatatkan baginya enam ratus darjat yang jarak jauhnya antara dua darjat seperti jarak jauh antara permukaan bumi yang paling atas dengan dasar bumi yang ketujuh.

Barangsiapa sabar menjauhi perbuatan derhaka, maka dicatatkan baginya sembilan ratus darjat, yang jaraknya jauh antara tiap-tiap dua darjat seperti jarak jauhnya antara Arsy dengan bumi."

Kelebihan Hari 'Asyura - 10 Muharram!

Kelebihan Hari 'Asyura - 10 Muharram

"Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. 

Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (HR Bukhari)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (HR Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pemgumuman ini sampai malam". (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, " Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (HR Muslim)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (HR Muslim)

Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.